13 buku latihan satu subjek
12 Februari 2012
BAGAN DALAM - Nak mengajar atau menghukum, itu dua persoalan yang sering bermain di fikiran Abdul Jamil Othman, 52, selepas mendapati anak bongsunya terpaksa menggunakan 13 buku untuk menyiapkan latihan mata pelajaran Matematik yang diberi guru sepanjang tahun lalu.
Biarpun terpaksa bersengkang mata hingga lewat malam menyiapkan kerja rumah yang diberikan guru, anaknya Mardhiah Safwan, 12, murid tahun enam sebuah sekolah rendah di sini tidak pernah memperoleh markah tinggi.
“Saya hairan kerana latihan yang diberikan guru terbabit seolah-olah ingin mendera anak saya, bukan menurunkan ilmu untuk mengajar dan menjadikannya cerdik.
“Mungkin lepas ini anak saya boleh mencatat nama sebagai murid yang paling banyak menggunakan buku untuk menyiapkan latihan mata pelajaran Matematiknya itu,” katanya.
Abdul Jamil yang tinggal di Rumah Pangsa Bagan Dalam di sini, berkata, sepatutnya jika anaknya itu sering membuat latihan dia akan menjadi cekap dalam mata pelajaran terbabit tetapi keadaan menjadi sebaliknya.
“Saya tak tahu apa motif sebenar guru itu memberikan latihan yang begitu banyak kepada anak saya kerana sepanjang pengetahuan, rakan sekelasnya tidak pula diarah berbuat demikian.
“Sepanjang tahun lalu anak saya terpaksa menggunakan 13 buku latihan hanya untuk mata pelajaran Matematik sahaja,” katanya.
Abdul Jamil berkata, dia tidak kisah menyediakan buku sebanyak itu demi pelajaran anaknya, tetapi dalam masa sama timbul kehairanan apakah motif sebenar guru mata pelajaran itu bertindak sedemikian.
“Saya berharap untuk sesi persekolahan tahun ini anak saya diberi pendidikan sama seperti rakannya yang lain dan tidak diarah melakukan perkara berbeza hingga menimbulkan tanda tanya dan tidak boleh diterima akal,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan