Lisa persis Kate Middleton
SEBAIK sahaja Lisa Surihani Mohamed, 26, melangkah masuk ke dewan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada pukul 9.05 malam, 26 Februari lalu, para tetamu terpegun melihat keayuan wajahnya.
Selain menatap wajah isteri Yusry Abdul Halim, 38, tetamu juga tidak lepas pandang pada gaun pengantin warna kuning champange yang dipakai oleh pengantin perempuan.
Terdengarlah bisik-bisik yang berkata, gaun yang dipadankan dengan layah pendek itu seakan baju pengantin Kate Middleton sewaktu melangsungkan perkahwinan dengan Putera William.
Baju untuk majlis resepsi Lisa itu dibuat khas oleh pereka fesyen, Putera dari Cosry dan difahamkan idea untuk rekaan gaun itu daripada Lisa sendiri.
Memanglah tidak sama seratus peratus tapi kalau dilihat pada bahagian leher baju itu ada sedikit persamaannya.
Cukup manis sekali Lisa dalam gaun tersebut manakala Yusry pula yang masuk kemudian ke dalam dewan mengenakan pakaian gabungan moden dan tradisional.
Pasangan yang bernikah pada 23 Februari lalu di Hotel Marriott, Putrajaya itu kemudian disandingkan di pelamin yang menampilkan konsep french vintage.
Rahsia percintaan pasangan itu dibongkarkan oleh Norman, Edry dan ibu Lisa, Siti Amira Ahmad dalam satu temu bual yang disiarkan pada malam tersebut.
Rupa-rupanya, rahsia pasangan itu mula dihidu oleh keluarga masing-masing, sewaktu majlis Anugerah Bintang Popular (ABP) yang berlangsung di Genting Highlands tahun lalu, kerana ketika itu mereka sibuk dengan BlackBerry Messenger (BBM).
Pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,500 tetamu, kumpulan Forteen, Aizat Amdan dan Jaclyn Victor turut mempersembahkan beberapa buah lagu.
Antara rakan artis yang hadir, Datin Seri Tiara Jacquelina bersama suami Datuk Seri Effendy Norwawi, Stephen Rahman Hughes, Aqasha dan isteri, Julia Ziegler, Awal Ashaari, Scha Al-Yahya dan Dynas Mokhtar.
Pasangan bak pinang dibelah dua itu akan berangkat ke Eropah hari ini untuk berbulan madu selama dua minggu.
0 ulasan:
Catat Ulasan