Khamis, 14 Jun 2012

Keretapi Tanah Melayu

Saya petik rencana tentang keretapi ini dari blog http://malaysiarailway.com yang begitu banyak mempunyai maklumat tentang salah satu dari kemudahan awam di negara kita. Saya kongsikan kerana saya merasakan tulisan beliau akan menjadi bahan sejarah yang sukar untuk dicari kemudian hari - admin

KTM - Armoured Wickham Trolley
 
Semasa zaman Darurat Pertama, KTM menjadi antara sasaran yang dipilih oleh pengganas komunis dalam usaha mereka untuk menimbulkan keadaan huru-hara di Tanah Melayu. Pada keseluruhannya, akibat perbuatan pengganas komunis, KTM mengalami
  • 197 kejadian kegelinciran
  • 171 kali ditembak
  • 18 buah stesyen musnah
  • 580 alat telekomunikasi dan semboyan rosak
  • 441 kejadian sabotaj landasan dan jambatan,
  • 78 buah lokomotif musnah
  • 36 penumpang terbunuh dan 161 cedera.
Berikutan dengan pengisytiharan Darurat pada tahun 1948, KTM telah dilengkapkan dengan Tren Berperisai (Armoured Train) sebagai langkah keselamatan dari ancaman keganasan komunis. Namun KTM yang menggunakan Permanent Way Jeeps yang dinaiki oleh anggota polis bersenjata, sebagai pilot keselamatan, terus dijadikan sasaran serangan oleh penganas komunis.


Selepas itu, KTM mengubahsuai lokomotif dengan pelindung keselamatan sebagai Loko Pilot, namun komunis terus mengganas. Pada 1 Feb 1949, Loko Pilot No 564.32 dan lokomotif No 264.12 yang menarik teren mel malam Kuala Lumpur-Penang, tergelincir antara Banir dan Temuh akibat di sabotaj oleh komunis.

Sebuah AWT atau Armoured Wickham Trolley
Pada tahun 1952, KTM telah menempah 42 buah Armoured Wickham Trolley (AWT) untuk digunakan oleh Pasukan Polis Persekutuan dan AMD sebagai Pilot Tren dan peronda landasan. AWT ditempatkan di stesen tertentu untuk rondaan dan berupaya memberi bantuan tembakan semasa tren diancam komunis. AWT mempunyai dua pemandu di hadapan dan di belakang, satu ‘cupola’ untuk mesin gun di atas yang boleh berpusing dan enam lubang tinjau serta slit senjata untuk penembak menjadikannya digeruni oleh penganas komunis.


Pasukan Polis Persekutuan menggunakan AWT untuk meronda landasan kawasan pantai barat, sementara AMD meronda landasan dalam kawasan pantai timur. Batalion 5 AMD yang bertempat di Mentakab, menggunakan AWT untuk meronda landasan dari Stesyen Kemayan hingga Merapuh, dan 3 AMD yang bertempat di Gua Musang, meronda dari Merapuh ke Wakaf Bahru.

Serangan pengganas komunis kemudiannya menjadi reda sehinggalah akhir Darurat Pertama.

Sebuah AWT, lokomotive wap dan satu gerabak penumpang yang diletak atas landasan, terdapat di hadapan Muzium Tentera Darat dalam kawasan Pusat Latihan Rekrut (PUSASDA) di Port Dickson, Negeri Sembilan

0 ulasan:

Catat Ulasan