Syor gelaran positif kepada penunggang motosikal
MUHYIDDIN
SETIU – Gelaran negatif seperti mat rempit atau samseng jalan raya sering dilabelkan kepada penunggang motosikal dikhuatiri akan mengundang persepsi serong kepada keseluruhan penunggang motosikal termasuk di negeri ini.

Setiausaha Pas Kawasan Hulu Terengganu, Muhyiddin Abd Rashid berkata, kerajaan hari ini wajar memberikan nama lebih baik sebagai ganti sekali gus mendidik masyarakat supaya tidak terus melabelkan semua penunggang motosikal adalah mat rempit.

“Kita kesal dengan gelaran mat rempit atau samseng jalan raya yang diberikan kepada penunggang motosikal. “Ini kerana ia akan terus menyebabkan golongan ini sentiasa dipandang negatif sekali gus mengundang imej yang tidak baik dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Muhyiddin berkata, gelaran atau nama yang lebih baik harus diberikan bagi mendidik masyarakat agar tidak melabelkan semua penunggang motosikal adalah mat rempit atau samseng jalan raya.

“Malah, saya turut menerima rungutan daripada beberapa individu yang mendakwa segelitintir penunggang motosikal mendapat layanan tidak baik apabila mereka terlibat dalam kemalangan kerana dianggap menunggang secara melulu.

“Sehubungan itu, gelaran mat rempit atau samseng jalan raya ini difikirkan perlu diberikan penambahbaikan kepada nama lebih sesuai kerana sekurang-kurangnya melalui nama yang positif ia mampu mendidik masyarakat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Negeri Terengganu mendesak Kerajaan Negeri agar menyediakan litar khas tetap di setiap Parlimen supaya belia yang minat dengan sukan berkenaan memiliki tempat untuk beriadah.