Sabtu, 14 Julai 2012

JENAYAH SEMAKIN MEMBIMBANGKAN 2

Berbalas tembakan

Oleh HADZLAN HASSAN dan KALIDEWI MOGAN KUMARAPPA
metahad@hmetro.com.my
 
SESAK... Bulatan Cheras  sesak selepas ditutup bagi membolehkan anggota polis menjalankan siasat.
SESAK... Bulatan Cheras sesak selepas ditutup bagi membolehkan anggota polis menjalankan siasat.
MAUT... anggota forensik menyiasat mayat penjenayah.
MAUT... anggota forensik menyiasat mayat penjenayah.
KUALA LUMPUR: Tindakan tiga lelaki tidak mengendahkan arahan supaya memberhentikan kenderaan, sebaliknya menunjuk lagak dengan melepaskan tembakan ke arah polis, membawa padah apabila mereka terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan, semalam.
Kejadian berlaku jam 11.30 pagi selepas polis terserempak kereta dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah pusat perubatan swasta di Cheras, dekat sini, sebelum berakhir di bulatan Cheras, dekat Taman Bilion, dekat sini.

Bagaimanapun, kebijaksanaan anggota polis mengawal situasi ketika berlaku ketegangan harus dipuji kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku, kecuali kemalangan kecil dalam cubaan penjenayah melarikan diri daripada ditangkap sejurus melepaskan tembakan ke arah polis.

Wartawan Metro Ahad yang kebetulan melalui kawasan itu mendapati kejadian mengakibatkan laluan dari Pandan Indah ke ibu negara melalui bulatan terbabit ditutup sementara siasatan dilakukan dan orang ramai di kawasan berhampiran seakan-akan tidak percaya dengan apa disaksikan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, kejadian mengakibatkan tiga penjenayah terbunuh manakala dua kenderaan awam rosak akibat dilanggar kenderaan penjenayah.

“Dua daripada mereka terbunuh di tempat kejadian manakala seorang lagi maut dalam perjalanan ke hospital,” katanya.


Menurutnya, kejadian bermula selepas sepasukan anggota polis cuba memberhentikan kenderaan dinaiki suspek selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum ia memecut ke arah bulatan sambil melepaskan tembakan.

“Seorang suspek di tempat duduk penumpang depan melepaskan tembakan ke arah polis sebelum pasukan sama membalas tembakan dan akibatnya dua daripada mereka mati di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Metro Ahad difahamkan, ketiga-tiga lelaki berusia 24 hingga 40 tahun itu disyaki terbabit dalam kejadian samun kedai emas membabitkan kerugian lebih RM600,000 di Seksyen 18, Shah Alam, pada 6 April lalu.

Ku berkata, polis turut menemui sepucuk pistol jenis Glock, beberapa bilah parang, sejumlah syabu, barang kemas dan topeng dalam kenderaan dinaiki kumpulan lelaki berkenaan dan seorang daripada mereka didapati mempunyai rekod sejarah lampau berkaitan salah guna dadah dan samun.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kami meminta pemilik kenderaan yang terbabit dalam insiden itu membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/14

0 ulasan:

Catat Ulasan