Selasa, 24 Julai 2012

Polis berkawal di 3 pusat beli belah Subang Jaya


KUALA LUMPUR: Pengunjung di tiga pusat beli-belah di Subang Jaya kini boleh merasai suasana lebih selamat apabila 30 anggota polis ditempatkan di lokasi berkenaan bermula hari ini.

Inisiatif turun padang Kementerian Dalam Negeri yang dijayakan secara bersama membabitkan anggota polis dari Bukit Aman dan Balai Polis Subang Jaya itu dijangka akan meningkatkan lagi aspek keselamatan di kawasan berkenaan yang sebelum ini diawasi sepenuhnya oleh pengawal keselamatan.
Ketua Polis Balai Subang Jaya, Insp Sulaiman Baputty, berkata kehadiran polis secara 'omnipresence' itu bukan untuk menakutkan orang ramai sebaliknya memudahkan masyarakat menyalurkan maklumat sekiranya terlihat sebarang perlakuan jenayah atau berada dalam keadaan yang tidak selamat.

"Ini adalah satu daripada inisiatif yang diambil dalam usaha mengekang berlakunya jenayah di samping mendekati masyarakat, menunjukkan polis sedia melakukan apa sahaja dalam menjamin keselesaan dan keselamatan orang awam ketika keluar membeli-belah," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata tiga kompleks beli-belah berkenaan ialah Subang Parade, Empire Shopping Gallery dan Carrefour Subang.

Sulaiman berkata, selain membantu pengawal keselamatan sedia ada, anggota polis berkenaan akan melakukan tugasan membuat rondaan terutama di kawasan parkir dan di dalam kompleks dengan dibantu oleh polis peronda bagi penugasan di luar pusat beli-belah.

Katanya, penempatan anggota polis sempena Ramadan yang pertama kali diperkenalkan, membabitkan rondaan bermula jam 2 hingga 6 petang dengan pilihan dilanjutkan selepas bulan puasa bergantung kepada keperluan semasa.
"Untuk itu, kami sentiasa mengalu-alukan maklumat dan cadangan dari orang awam dalam mempertingkatkan kawalan keselamatan, sejajar dengan hasrat PDRM mengurangkan kejadian jenayah di pusat beli-belah," katanya. - BERNAMA

Sumber

0 ulasan:

Catat Ulasan