Azizan Abdul Razak
ALOR SETAR - Lapan Ahli Exco Kerajaan Negeri akan mengangkat sumpah jawatan penggal 2012 di Istana Anak Bukit Selasa ini manakala dua lagi dijangka berbuat demikian selepas tempoh semasa berakhir 7 Mac ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, dua jawatan Exco terbabit kemungkinan dibarisi muka baru, namun enggan mendedahkan sama ada individu yang dimaksudkan itu membabitkan dua Exco yang disebut-sebut menolak pelantikan semula.

“Lapan yang akan dilantik itu bukan muka baru. Semua Exco tamat tempoh pada 7 Mac, sebab itu saya tidak boleh lantik sekali gus, perlu tunggu tamat tempoh bagi elak melanggari Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah,” katanya kepada media selepas mesyuarat ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), di Wisma PKNK, hari ini.

Menurutnya, semua senarai nama 10 Exco itu sudah mendapat perkenan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

“Kita tidak boleh lantik serentak pada Selasa ini, kerana jumlahnya akan menjadi 12 orang. Kita lantik lapan dahulu, tunggu dua lagi tamat tempoh baru buat lantikan. Jika jumlahnya kurang tak apa, tetapi tidak boleh lebih daripada 10,” katanya.

Azizan berkata, setiap Exco yang ditawarkan lantikan boleh menolak jawatan dan pihaknya sudah bersedia dengan beberapa opsyen sekiranya berlaku.

“Mereka ada hak tolak jika tak berminat jawatan itu, jika mereka tolak, kita lantik orang lain,” katanya.

Menurutnya, ramai yang menunjukkan minat untuk dilantik sebagai Exco malah ada yang menawarkan diri.

“Selepas surat tawaran diserahkan kemungkinan hari ini, Exco berkenaan perlu menjawabnya secepat mungkin. Saya yakin ada jalan penyelesaian terbaik dalam isu ini,” katanya.

Mengulas mengenai tarikh mengangkat sumpah yang dibuat lebih awal berbanding tarikh tamat tempoh, Azizan berkata, ia dibuat atas kesesuaian semua pihak.

Sebelum ini wujud khabar angin dua Exco Kedah menghantar surat kepada Azizan bagi menyatakan keengganan dilantik semula ke jawatan itu yang dijadual diumum Selasa ini.

Dua Exco yang disebut-sebut berbuat demikian ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Phahrolrazi Zawawi yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, dan Pengerusi Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi negeri, Datuk Dr Ismail Salleh yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah.

Mereka dipercayai berbuat demikian kerana kecewa dengan sikap serta kepemimpinan Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, berhubung pelbagai isu yang melanda pentadbirannya sejak kebelakangan ini.