Sabtu, 23 Jun 2012

BURU BUJANG SEBLAK

Kerajaan Sarawak akhirnya melancarkan pemburuan besar-besar terhadap Bujang Seblak yang telah mengorbankan 4 nyawa setakat ini. Bujang Seblak yang tidak kurang ganasnya berbanding Bujang Senang dikata lebih berani dan mencabar kumpulan pemburu. Dalam banyak kejadianb kumpulan pemburu menemui Bujang Seblak mengonggong mangsa dan tidak melepaskan mangsa seperti sebelumnya.

Berita selanjutnya saya petik dari :http://www.mysarawak.org/2012/06/22/jabatan-hutan-keluar-permit-bunuh-buaya-pemangsa.html

KUCHING: Jabatan Hutan telah mengeluarkan permit untuk membunuh buaya pemangsa di Sungai Seblak dan anak sungai di kawasan itu bagi memastikan rakyat di kawasan berkenaan tidak lagi menjadi mangsa kepada reptilia ganas.

Menurut jurucakap jabatan, permit akan dikeluarkan dengan seberapa se-gera oleh pengarah perhutanan, yang juga kontroler hidupan liar yang akan menandatanganinya.

“Kami telah menyediakan draf dan permit akan dihantar melalui e-mel kepada Pejabat Daerah Saratok untuk tindakan lanjut sejurus sahaja ia ditandatangani oleh kontroler hidupan liar,” kata jurucakap itu kepada Borneo Post di sini, semalam.

Beliau menjelaskan kebiasaannya, tempoh permit adalah sah antara enam bulan hingga setahun.
Jurucakap itu mendedahkan, permohonan untuk memusnahkan buaya di Sungai Seblak dan anak sungai lain telah dibuat oleh Pejabat Daerah Saratok.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kejadian serangan reptilia terbaharu iaitu seorang wanita berusia pertengahan umur dan merupakan isteri Tuai Rumah Embol dari Sungai Anak, Pelunga Roban.

Mangsa terbaharu, Siah Munsong dikatakan sedang mandi sungai ketika kejadian pada Isnin lalu.
Reptilia itu terkenal dengan jolokan Bujang Seblak oleh penduduk tempatan dan telah mengganas di kawasan berkenaan sejak 2007.

Siah dipercayai menjadi mangsa keempat oleh Bujang Seblak.

Mangsa pertama Bujang Seblak ialah Kamis Achong, yang terbunuh pada 2007 kemudian reptilia ganas itu me-nyerang lagi pada Mei tahun lalu, yang menjadikan nelayan dari Kampung Empelam, Mankay Gogeh sebagai mangsa.

Mangsa ketiga adalah Sulaiman Abdullah, nelayan dari Kampung Melayu, Roban.
Selepas Mankay menjadi mangsa serangan buaya, satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk membunuh semua buaya sepanjang sembilan kaki ke atas.

Bagaimanapun operasi berakhir dengan menangkap buaya betina sembilan kaki sementara buaya pembunuh masih tinggal.

Penduduk tempatan, terutama dari Kampung Empelam menyatakan bahawa reptilia itu turut mengganggu kerana menyerang ternakan mereka.

0 ulasan:

Catat Ulasan