Sabtu, 23 Jun 2012

BUJANG SEBLAK DAN KEGANASANNYA

Negara pernah digemparkan dengan lagenda Bujang Senang yang bermaharaja lela di Sungai Batang Lupar. Ramai yang menjadi mangsa buaya jantan yang ganas dan tidak kenal erti takut. Dikatakan Bujang Senang akhirnya tewas di tangan pemburu buaya.

Kini negara digemparkan lagi oleh seeekor buaya yang tidak kurang ganasnya. Kini di Saratok. Khususnya di Sungai Seblak. Buaya yang dikenali dengan nama Bujang Seblak tidak kurang ganasnya berbanding Bujang Senang. 4 orang telah menjadi mangsanya. Ikuti petikan yang saya ambil dari blog: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2011/09/19/bujang-seblak-balas-dendam/

Bujang Seblak balas dendam
| September 19, 2011
Dengan gah dan rakus Bujang Seblak menunjukkan mangsa di mulutnya sebagai bukti kejaguhannya kepada pihak terlibat operasi sebelum menghilangkan diri di dasar sungai.


BETONG: Buaya gergasi hitam, Bujang Seblak kini dipercayai masih lapar dan terus memburu mangsanya di sepanjang Sungai Seblak, kata Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat, Sarjan Misol Mahadi.

Semalam, mangsa terbarunya Sulaiman Abdullah, 66, belum ditemui. Sebelum kejadian mangsa telah turun ke sungai untuk menangkap udang kira-kira jam 3 pagi bersama-sama anak lelaki Endoi Sulaiman, 41 dan seorang cucunya Nazrie Endoi, 15, dengan menggunakan perahu berasingan.
Menurut Endoi, ketika serangan perahu dia dan bapanya berada dalam jarak kira-kira 50 meter.
Dalam kejadian yang berlaku di Lubuk Kersik, berdekatan dengan penempatan orang Iban di Rumah Panjang Plunga itu, mangsa dibaham buaya ketika sedang mencuci peralatan menangkap ikan dan udang.

Meskipun kumpulan penyelamat terserempak Bujang Seblak yang membawa mangsa di mulutnya namun pada kali ini Bujang Seblak enggan melepaskan habuan itu.

Dengan gah dan rakus Bujang Seblak menunjukkan mangsa di mulutnya sebagai bukti kejaguhannya kepada pihak terlibat operasi sebelum menghilangkan diri di dasar sungai.

Mengulas mengenai kejadian serangan terbaru buaya semalam, Sarjan Misol menjelaskan, berdasar rekod, pada 2007, Kamis Acong seorang penduduk Kampung Emplam tidak ditemui jasadnya sepanjang tempoh operasi mencari mangsa.

Hanya pada hari kesembilan operasi, bahagian tengkorak mangsa ditemui di sebuah lubuk di Nyiar. Turut dijumpai ketika itu cebisan baju dan sarung parang manakala pada 22 Mei 2011, mangsa Seblak ialah Mankey Goheh atau Wak, warga Kampung Emplam.

Buaya raksasa itu bagaimanapun tidak sempat menjamah daging mangsa kerana tindakan mencari pantas dan cekap telah berjaya mengesan lubuk mangsa.

Mangsa masih berada di antara dua rahang tajam buaya misteri itu dan dipercayai dilepas sebaik terdengar bacaan surah Yasin dan laungan azan kumpulan operasi.

Sebaik berjaya ditemui, mayat Mangkey masih lengkap anggota mengalami patah tangan dan sedikit calar di bahagian dada.

Serangan ganas
Tragedi serangan ganas itu turut mendapat perhatian segera Perbadanan Perhutanan Sarawak (Sarawak Forestry), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan penduduk kampung yang menjalankan operasi memburu besar-besaran pada 18 Julai hingga 22 Julai lalu.

Operasi itu gagal menemui buaya yang menjadi sasaran tetapi sebaliknya hanya seekor buaya betina kalah di muncung senapang pihak terlibat operasi pada hari kedua.
Secara realitinya buaya malang itu bukanlah buaya yang diburu sebaliknya menjadi galang ganti buaya pemangsa yang lain.

Berdasar statistik ‘Sarawak Forestry’ yang melakukan bancian di kawasan sungai itu sebelum ini, 300 buaya dewasa dikatakan masih menghuni sungai berkenaan.

Menurut mereka yang dalam operasi, di Sungai Seblak terdapat banyak buaya dewasa dan saiznya agak besar namun ia begitu licik dan sukar untuk ditewaskan. Apatah lagi, operasi itu dikatakan tidak mampu mengalah kumpulan penghuni sungai itu.

Buaya haiwan istimewa ini dikatakan mempunyai deria rasa tersendiri dalam mengetahui setiap tindakan dan ancaman manusia terhadap kaumnya.

Tragedi serangan buaya ganas di Sungai Seblak pastinya menjadi igauan ngeri kepada penduduk yang bergantung hidup dengan sungai berkenaan sama ada untuk tujuan perhubungan mahupun bagi mencari rezeki di sungai seperti ikan dan udang yang sememangnya begitu mewah di sungai tersebut.
Kini amaran diberikan kepada penghuni sepanjang sungai itu agar menjauhi sungai tersebut memandangkan tindakan agresif serangan buaya di situ.

Morshidi Well, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melayu Roban akan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini bagi tujuan membantu keluarga mangsa dan membincang sumber untuk membiayai sepanjang operasi memburu Bujang Seblak.
Hasilnya dana sebanyak RM1,000 diperuntukan, selain RM300 sumbangan masjid kampung berkenaan.

Selain itu, tabung dema kilat untuk membantu keluarga mangsa yang dilancarkan semalam telah berjaya memungut sebanyak RM1,400.

Berdasarkan rekod, tempoh operasi memburu buaya ganas di Sungai Seblak telah diluluskan dari 18 Julai hingga 21 September 2011.

Justeru, secara lojiknya jika operasi itu hendak dilakukan semula pihak terlibat masih mempunyai baki masa beberapa hari sebelum tempohnya tamat pada 21 September ini, jam 12 malam.
Setakat jam 4 petang semalam, mayat mangsa serangan masih gagal ditemui.

0 ulasan:

Catat Ulasan