Mengaku kurung jurujual diculik rakan
Ramesh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku salah mengurung mangsa culik, 1 Mei lalu.
KUALA TERENGGANU - Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara dan denda RM2,000 terhadap seorang lelaki setelah mengaku bersalah mengurung seorang jurujual yang diculik rakannya, 1 Mei lalu.

Tertuduh, Ramesh Balakrishnan, 38, dari Segamat, Johor, yang turut dijatuhi hukuman penjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda, mengaku bersalah mengurung mangsa, Kam Siew Lian, 21, di sebuah rumah di Lorong Jeram, Kampung Cina Taman Sri Manir, di sini, 1 Mei lalu kira-kira jam 1 pagi hingga 9.30 pagi.

Bapa kepada tiga anak ini mengaku salah mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi dihadapan Majistret Noradila Ab Latiff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pada 1 Mei lalu kira-kira jam 1 pagi, mangsa sedang menunggu kawannya di dalam kereta jenis Proton Iswara di hadapan kedai alat ganti kereta, bersebelahan Shell Pulau Kambing.

Tiba-tiba cermin kereta di sebelah kiri penumpang hadapan telah dipecahkan beberapa lelaki dipercayai meluru masuk ke dalam kereta terbabit.

Disebabkan kepala mangsa telah diserkap dengan kain, mangsa kembali tertidur dan tidak sedarkan diri lalu dibawa ke sebuah rumah dan dikurung di dalam bilik, serta turut dicabul oleh salah seorang daripada mereka.

Beberapa jam kemudian, mangsa telah dibawa keluar dari rumah terbabit dengan menaiki kereta dalam keadaan mata dan mulut dibaluti pita pelekat.

Lebih kejam, mangsa telah dibawa ke satu lokasi yang agak jauh dari tumpuan orang ramai lalu ditolak keluar di tepi lebuh raya Bukit Jong, Marang.