KOTA BHARU - Seorang lelaki berusia 58 tahun, ditemui mati tertiarap serta berlumuran darah di kawasan stor sebuah syarikat perumahan di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa, di sini, malam kelmarin.

Kejadian pada jam 9.15 malam itu, menyebabkan mangsa maut, selepas dipercayai ditembak dengan tiga das tembakan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisstan Komisioner Azham Othman berkata, semasa polis menjalankan siasatan di tempat kejadian, mangsa hanya memakai kain sarung serta mengenakan baju t- lusuh tanpa kolar berwarna hitam dan memakai selipar.

“Mangsa yang dikenali sebagai Mamat Omar merupakan seorang tukang kayu yang bekerja di kawasan terbabit sejak dua bulan lalu.

“Dia yang berasal dari Thailand dan menetap di Kampung Simpangan,Tumpat, sudah berkahwin dan mempunyai lima anak serta tidak tinggal tetap di rumah kongsi kerana mempunyai keluarga,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Azham berkata, hasil siasatan unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) serta Unit K9 bersama doktor Patologi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), pergerakan suspek hanya dapat dikesan ketika menuju ke kawasan itu.

“Semasa siasatan dilakukan, terdapat tiga kesan tembakan pada mangsa iaitu di pipi sebelah kanan, leher dan belakang kepala. Tiada kelonsong peluru ditemui di kawasan kejadian dan dipercayai penjenayah menggunakan senjata jenis Revolver,” katanya.

Beliau berkata, stor dan rumah kongsi itu juga ditinggalkan kosong pada waktu malam dan tiada pekerja pada ketika itu.

“Mangsa yang berasal kampung Chenerong, Thailand mula menetap di negara kita sejak 22 tahun lalu. Kali terakhir mangsa dilihat di kawasan itu, pada jam 7 malam yang ketika berada di biliknya di rumah kongsi di kawasan itu”, katanya.

Azham berkata, setakat ini pihaknya masih mengenal pasti motif kejadian dan penjenayah yang terlibat, dan kes itu disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sementara itu, menurut saksi kejadian, Mohd Afiq Azlam, 19, dia terdengar bunyi letupan sebanyak tiga kali selepas menunaikan solat Isyak.

“Pada mulanya saya ingatkan bunyi mercun tetapi selepas keluar dari rumah saya terkejut melihat mayat seorang lelaki tertiarap di atas jalan.

“Ini merupakan kejadian pertama selepas sebulan saya menetap di kawasan ini,” katanya.