Khamis, 28 Jun 2012

Mana dia bersamamu.....

Dua beranak lembam terbiar di pondok usang

 
JOHOR BAHRU: Dua beranak lembam bukan saja dibiarkan tinggal merana di sebuah pondok usang tanpa bekalan elektrik dan air bersih, malah tidur, masak dan membuang air dalam pondok tidak berbilik di Kampung Sungai Rinting C, Masai di sini, sejak lebih lima tahun lalu.
Lebih menyedihkan, mereka yang berteduh di pondok yang hanya menunggu masa menyembah bumi terdesak mengutip sayur-sayuran liar bagi mengisi perut, selain bergantung kepada air hujan dan sungai untuk meneruskan kehidupan.

Selain itu, dua beranak berkenaan tinggal di pondok usang tidak berdinding di bahagian dapur berdepan Sungai Rinting, menyebabkan mereka terdedah kepada bahaya haiwan berbisa.

Keadaan itu menyebabkan mereka menunggu hujan bagi membersihkan diri, mencuci najis di dalam pondok itu dan memasak serta mengharapkan ihsan penduduk kampung untuk makanan harian.

Aminah Saat, 50, ketika ditemui berkata, dia dan anak perempuannya Norijah Umar, 21, tinggal di pondok berkenaan selepas bercerai dengan suaminya lebih lima tahun lalu.

“Kami pernah bekerja sambilan di rumah beberapa kali dengan memasang barangan elektrik, namun majikan kilang tidak berpuas hati dengan kerja kami dan menamatkan kontrak.


“Sekiranya melakukan pekerjaan itu, kami hanya menerima upah RM20 seorang untuk kerja seminggu.

“Mulai minggu lalu, Norijah bekerja sambilan di sebuah kilang perkakasan,” katanya.

Menurutnya, disebabkan kedaifan hidup, dia kerap mencari sayur-sayuran liar untuk dimasak.

Ketua Umno Cawangan Kampung Sungai Rinting, Suratmin Alwee berkata, pihaknya terkilan melihat keadaan dua beranak yang tinggal di pondok usang itu tanpa bantuan ahli keluarga mereka.

Menurutnya, sebelum ini, dua beranak itu dibantu bekas suami Aminah.

“Bekas suami Aminah langsung tidak menjenguknya mahupun mengambil tahu keadaan mereka selepas bercerai.

“Selama lima tahun ini, pondok yang tidak mempunyai bekalan elektrik dan bekalan air menjadi tempat tinggal mereka. “Mereka mandi dengan air masin dan memasak menggunakan air hujan. Selain itu, mereka kerap terputus bekalan makanan kerana hanya mengharapkan bantuan penduduk kampung terutama pengusaha warung makan berhampiran,” katanya.

Suratmin berkata, dia difahamkan Aminah mempunyai adik-beradik yang tinggal di sekitar bandar raya ini, namun mereka tidak membantu dua beranak itu. “Kami simpati melihat keadaan Aminah dan anaknya kerana tinggal di pondok yang bocor dan lantai berlubang.

“Kami khuatir mereka diancam ribut hingga boleh membahayakan nyawa,” katanya. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas Jaya, Datuk M M Samy berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan sesuai kepada Aminah dan anaknya secepat mungkin.

“Kami baru mengetahui keadaan dua beranak itu dan bersimpati terhadap nasib malang mereka,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan