BANGKOK – Beribu-ribu penunjuk perasaan Baju Merah pro kerajaan mengadakan perhimpunan raksasa di ibu negara ini hari ini sebagai menunjukkan kekuatan terhadap kumpulan "elit" yang didakwa cuba menggulingkan kerajaan sekarang yang terpilih secara demokratik.

Dalam melahirkan bantahan kepada kumpulan itu, mereka mengadakan perhimpunan itu juga untuk memperingati ulang tahun ke 80 revolusi 1932 yang menegakkan sistem raja berperlembagaan sekarang menggantikan sistem raja berkuasa mutlak.

Mereka mula berkumpul di Monumen Demokrasi di Ratchadamneon Avenue pada kira-kira 10 pagi dan polis menganggarkan kira-kira 50,000 penyokong Baju Merah menyertai acara itu yang dijadual hanya berakhir pada tengah malam.

Pemimpin "United Front for Democracy against Dictatorship" (Fron Bersatu untuk Demokrasi menentang Pemerintahan Diktator) (UDD) Jatuporn Prompan mendakwa institusi bebas negara sedang dipergunakan untuk melemahkan kerajaan sekarang.

Ini termasuk perintah Mahkamah Perlembagaan bagi mengggantung bacaan rang undang-undang pindaan piagam, keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan bahawa Timbalan Perdana Menteri Yongyuth Wichaidit terlibat dalam perbuatan salah laku kerana mengesahkan penjualan tanah aktiviti agama kepada seorang pemaju padang golf.

Kumpulan Baju Merah juga mendakwa bahawa kumpulan "elit" merancang penggulingan kerajaan Thaksin Shinawatra menerusi rampasan kuasa yang tidak menumpahkan darah pada 19 Sept, 2006.

Mereka khuatir kerajaan sekarang dipimpin oleh adik perempuan Thaksin Yingluck mungkin menghadapi nasib yang sama berikutan pergolakan baru-baru ini yang melibatkan institusi bebas.

"Tiga institusi bebas itu bertindak seolah-olah mereka 'negeri dalam sebuah negeri' dengan tidak menghormati pucuk pimpinan yang dipilih," kata Jatuporn.

"Kami akan berjuang mempertahankan keadilan tanpa takut," kata seorang lagi pemimpin UDD Korkaew Pikulthong.

Kumpuan Baju Merah juga melancarkan kempen tandatangan di tapak perhimpunan dalam usaha untuk mencabar kebolehpercayaan hakim-hakim Mahkamah Perlembagaan kerana campur tangan dalam urusan badan perundangan bila mengeluarkan perintah penggantungan berkenaan. - Bernama