PUTRAJAYA - Sisa minyak masak juga boleh dikitar semula untuk dijadikan bahan lain seperti biodesel dan sabun.

Menyedari hakikat itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1) di sini akan mengambil inisiatif untuk mengumpul minyak masak sebelum diserahkan kepada pihak Alam Flora untuk proses kitar semula seterusnya.

Inisiatif ini dijalankan setelah sekolah ini terpilih mewakili Putrajaya di dalam Pertandingan Toyota Eco Youth 2012.

Guru pembimbing bagi projek berkenaan, Chek Ramlah Abdul Samad berkata seramai lapan orang pelajarnya akan pergi dari rumah ke rumah untuk mengumpul sisa minyak masak, buat permulaan di sekitar Presint 18.

"Sebanyak 10 unit tong yang boleh memuatkan 56 kilogram minyak akan diletakkan setiap sebuah di setiap blok bangunan perumahan penjawat awam di Presint berkenaan untuk penduduk meletakkan saki-baki minyak masak mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau meminta penduduk supaya memberi kerjasama kepada usaha mereka itu.

Pertandingan tersebut telah bermula sejak 29 Mac hingga 29 September lalu yang melibatkan sekolah di seluruh Malaysia.

Ia diadakan sejak 2001 menerusi anjuran UMW Toyota Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Pelajaran.

Setiap sekolah perlu menjana publisiti mengenai usaha mereka bagi melahir kesedaran dan menarik penyertaan masyarakat.

Hadiah kepada pemenang ialah wang tunai bernilai RM7,000 untuk tempat pertama, RM5,000 (kedua), RM3,000 (ketiga), RM2,000 (keempat) dan RM1,000 (kelima). - Bernama