MELAKA - Polis menahan seorang remaja yang dipercayai terlibat dalam kes ragut seorang kerani wanita yang meninggal dunia sehari selepas kejadian itu di Jalan Benteng, Balai Panjang empat hari lepas.

Remaja lelaki berusia 17 tahun yang tidak bersekolah itu ditahan bersama tiga lagi lelaki berusia 20-an dalam satu operasi khas di dua inap desa di Merlimau dan Semabok bermula 1.30 petang semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Supt R. Gunarajan berkata kesemua mereka dipercayai merupakan ahli kumpulan yang terlibat dalam 15 kes pecah rumah dan ragut di sekitar daerah Melaka Tengah dan Jasin sejak tahun lepas.

Beliau berkata hasil siasatan, remaja terbabit mengaku mengambil beg tangan dari raga motosikal mangsa dalam kejadian berkenaan.

"Ketika kejadian, remaja itu membonceng motosikal yang ditunggangi seorang lagi rakannya yang masih dijejaki," katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 8.05 pagi Sabtu lepas, mangsa, Tang Mui Choo, 35 yang menunggang motosikal diragut dua lelaki ketika dalam perjalanan ke tempat kerja menyebabkannya terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala dan rusuk sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya.

Gunarajan berkata dalam operasi itu polis turut menemui tiga komputer riba, lapan telefon bimbit pelbagai jenama, beg duit dan matawang asing dan empat topi kaledar yang dipercayai hasil ragut dan pecah rumah.

Beliau berkata kumpulan tersebut dipercayai menggunakan taktik bersembunyi di inap desa atau hotel dan keluar meragut untuk membeli dadah.

Katanya kesemua mereka yang juga positif dadah jenis methamphetamine kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama