Sabtu, 21 Julai 2012

Stephanie generasi pelapis Rungus

 



KELETIHAN selepas menempuh perjalanan jauh ke daerah Kudat, Sabah tiba-tiba hilang. Mata yang layu terus segar tatkala melihat kehidupan di depan mata.
Sepasang anak kecil berlari-lari, sambil kelibat si ibu yang tenang menyusun manik-manik. Di satu sudut lain pula, sekumpulan wanita sedang menggerak-gerakkan jari-jemari mereka untuk pembuatan anyaman.
Rumah kecil ini menjadi saksi kepada kreativiti golongan wanita dari suku kaum Rungus. Rungus merupakan salah satu daripada suku kaum di Sabah. Mereka ialah penduduk asli kepulauan Borneo dan mendominasi hampir separuh daripada bandar Kudat iaitu bandar yang terletak di titik paling utara Kepulauan Borneo.
Menurut sejarah, aktiviti asal kaum Rungus ialah dalam bidang perdagangan secara barter, namun perubahan zaman telah mengubah minat dan cita rasa hampir sebahagian besar penduduk di daerah ini.
Hakikatnya, Kudat sentiasa digelar sebagai syurga kraftangan. Hasil tangan seperti anyaman rinago atau ribu-ribu dan kraf manik merupakan antara koleksi wajib beli bagi peminat seni kraf tangan tanah air.
Kampung Garib, Kudat yang terletak kira-kira 200 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu, Sabah cukup tenang. Kunjungan ke sebuah teratak yang menjadi lokasi pembuatan anyaman rinago atau ribu-ribu menemukan kami kepada seorang wanita kreatif, Stephanie Aping.


DARI kiri: Stephanie, dibantu Marlim Mariam (tengah) dan Nomijorge Ali saling bekerjasama dalam menghasilkan produk kraf tangan daripada tumbuahan ribu-ribu.


Stephanie, 48, ditemani anak kecilnya yang berumur enam tahun, Alina Asbira Angkong. Stephanie, merupakan antara pemain utama industri kraf tangan di daerah Kudat khususnya anyaman rinago. Rinago atau juga dikenali lingkong dalam bahasa Rungus diperbuat daripada bahan utama iaitu ribu-ribu yang merupakan sejenis tumbuhan paku-pakis.
Tumbuhan yang berwarna hijau kekuningan itu banyak tumbuh menjalar di kawasan belukar.
"Kemahiran menganyam ribu-ribu umpama isi dan kuku yang melambangkan hasil kesenian masyarakat kaum kami selain manik dan gong.
"Justeru, menjadi tanggungjawab kami untuk mempertahankan hasil seni ini kerana ia telah diusahakan secara turun-temurun oleh nenek moyang kami," katanya yang juga penghidap albino.
Proses jalinan
Stephanie memberitahu, proses anyaman tersebut dimulakan dengan membelah ribu-ribu menggunakan alat yang tajam seperti pisau. Ribu-ribu akan dipotong dari hujung ke pangkalnya kepada dua bahagian mengikut ukuran yang diperlukan.
Ia kemudian dijemur lebih kurang sejam di bawah sinar matahari bagi menghilangkan takungan cecair yang terdapat di dalam batang pokok tersebut.
"Apa yang penting ialah elakkan daripada terkena air sebelum digunakan supaya ia tidak rosak dan belahan tersebut menjadi warna hitam," jelasnya.
Ujar Stephanie, proses pembuatan ribu-ribu tidak begitu sukar tetapi ia memerlukan ketelitian dan kesungguhan yang tinggi dalam menghasilkan produk yang menarik dan menepati pasaran.
"Proses jalinan akan dilakukan menggunakan sebatang jarum yang panjangnya berukuran kira-kira dua inci bersama rotan sebagai bingkai asasnya.
"Setelah itu, lebihan ribu-ribu yang tidak diperlukan akan dipotong menggunakan pengetip kuku atau gunting," katanya yang mendapat bimbingan awal daripada suami, Nayar Morunting.
Antara produk yang telah dihasilkan oleh Stephanie ialah gasing, tinompok atau bakul serbaguna, bekas gula-gula, buah dan bekas bunga.
Paling menarik, kesemua produk kraftangannya telah menjelajah ke negara luar seperti Korea dan Hong Kong dalam promosi yang dianjurkan oleh Perbadanan Kraftangan Malaysia.
Harga bagi setiap rinago ditentukan berdasarkan saiz dan jenis rekaan, dengan purata harga antara RM25 hingga RM50.
Manik perhiasan wajib
Rekaan kraf tangan berasaskan manik boleh dianggap sebagai hasil tangan wajib bagi kebanyakan penduduk Sabah.
STEPHANIE (kanan) turut dibantu anaknya Alina Asbira menghasilkan anyaman rinago.


Malah, kraf manik juga sudah menjadi simbolik kepada identiti masyarakat Sabah khususnya bagi masyarakat kaum Rungus dari daerah Kudat.
Pembuat kraf manik, Naulim Makinda, 48 berkata, kecintaan masyarakat Sabah kepada kraf manik berpunca daripada juraian manik yang berwarna-warni dengan susunan dalam corak abstrak yang sungguh mengasyikkan.
"Jika diamati, kita boleh melihatnya apabila hasil anyaman manik ini sering digunakan untuk hiasan badan, pergelangan tangan dan jari.
"Malah, seri juntaian manik yang berwarna-warni itu boleh meningkatkan keyakinan kepada si pemakai," ujar Naulim yang mempelajari seni manik ini daripada ibunya
Naulim yang mempunyai bengkel kraf tangan di Kampung Tinagol, Kudat memberitahu, dalam masyarakat Rungus khususnya rekaan dalam rantai manik dapat dikategorikan kepada lima jenis.
Pemilihan warna
Ia meliputi manik yang dipakai secara bersilang (pinakol), manik di leher (inggot), litai, kamagi dan sulau.
Ujarnya, rantai jenis pinakol sering mendapat tempahan kerana ia dijadikan sebagai hiasan pada majlis keramaian kaum Rungus.
"Pinakol agak sukar dihasilkan kerana memerlukan ketelitian, ketekunan dan kesabaran yang tinggi.
"Ia selalu digabungkan dengan tujuh jenis motif corak seperti venusak (kelopak bunga), kinulit, inompulin (tombak), tinutub, tinugarang, tinigulun dan b inabok," ujarnya yang meminati hiasan manik dinding.
Bagi proses menyiapkan rekaan seperti pinakol, ia memerlukan masa antara tiga hingga tujuh hari bergantung kepada saiz dan rekaan.
"Pernah suatu ketika, saya terpaksa mendapatkan bantuan seramai 20 orang untuk menyiapkan 5,000 hingga 6,000 pelbagai rekaan manik dalam masa sebulan" katanya.
Berbeza dengan seorang lagi penghasil seni kaum Rungus, Winny Malingan, 38, memilih kraf tangan berunsurkan kertas.
Mula mendapat bimbingan di bawah Program Koperasi Pembangunan Desa (Pendesa) pada tahun 2004, batang keladi digunakan sebagai bahan utama berbanding jerami oleh kebanyakan pengiat seni ini di Semenanjung Malaysia.


WANITA Rungus dalam persalinan tradisi mereka yang unik.


Batang keladi digunakan kerana teksturnya yang lebih jelas, tidak kasar dan tahan lasak.
"Malah proses untuk pembersihan dan pengisaran lebih mudah kerana hanya memerlukan masa selama sejam selepas bahan utama diperoleh sebelum dijemur.
"Sebaliknya jerami memerlukan masa selama beberapa minggu sebelum dijemur," katanya yang pernah menggunakan batang pisang sebagai bahan utama.
Minat Winny terhadap kraf itu terbit secara semula jadi. Winny berkata, setiap dua kilogram batang keladi boleh menghasilkan sekeping kertas dengan dua kali ganda saiz A3 dan diwarnakan.
Antara barangan yang boleh dihasilkan daripada seni berasaskan kertas ini termasuklah kotak bekas serbaguna, tabung, kotak tisu dan bingkai lampu bilik tidur.

Sumber
Alexa

0 ulasan:

Catat Ulasan