Selepas pergaduhan dua bintang sensasi Indonesia, Dewi Perssik (Depe) dan Julia Perez (Jupe) dibawa ke muka pengadilan, kini pihak pendakwaraya menuntut agar Depe dipenjarakan selama enam bulan kerana didapati bersalah mendatangkan kecederaan kepada Jupe.

Pergaduhan mereka tercetus ketika menjalani penggambaran filem 'Arwah Goyang Kerawang' di mana Depe dikatakan telah mencakar dan menarik rambut Jupe.

Depe dikatakan berusaha agar sentiasa berada dalam keadaan tenang dan tidak beremosi selepas mendengar tuntutan tersebut di perbicaraan yang diadakan di Pengadilan Negeri, Jakarta Timur baru-baru ini.

"Kalau sekadar tuntutan, tiada masalah kerana yang penting, ia belum ada keputusan atau ketetapan yang sah. Bagi saya wajar apabila pihak penuntut meminta hukuman sebagainya. Namun keputusan tetap akan dibuat oleh mahkamah," ujar Depe yang mengharapkan tuduhan yang sudah berjalan selama dua tahun ini diakhiri secepat mungkin.