Suruhanjaya OIC prihatin pencabulan hak asasi manusia di Syria
25/02/2012 2:44pm
JAKARTA 25 Feb. - Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melahirkan kebimbangan mendalamnya tentang pencabulan hak asasi manusia yang berlaku di beberapa negara anggotanya, terutama Syria. Suruhanjaya itu juga melahirkan kebimbangannya tentang perbuatan membakar al-Quran di Afghanistan dan kehilangan nyawa di negara itu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada akhir mesyuarat rasmi pertamanya di sini lewat Jumaat, suruhanjaya 18 anggota itu juga mengenal pasti hak asasi wanita dan kanak-kanak, hak menikmati pembangunan dan hak mendapatkan pendidikan serta menggalakkan penyelidikan sebagai bidang keutamaan yang perlu diberi perhatian segera dalam kerangka kerjanya.
Sebagai langkah memperkasakan OIC melalui penggunaan mekanisme ke arah memperkukuh dan melindungi hak asasi negara anggotanya, mesyuarat lima hari itu memberi fokus utama terhadap perbincangan mengenai Tatacara Prosedurnya, di samping memberi tumpuan terhadap isu kontemporari berkaitan agenda hak asasi manusia di peringkat global.
Mesyuarat itu memutuskan bahawa hak daripada segi sivil, politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan di negara anggota OIC, keadaan hak asasi manusia di Palestin dan wilayah Arab lain yang diduduki Israel pada 1967 dan isu hak asasi manusia dalam agenda OIC akan menjadi perkara tetap dalam agenda suruhanjaya itu.
Aspek hak asasi manusia dalam agenda OIC, khususnya dalam penyaluran sokongan teknikal ke arah pembinaan keupayaan dan peri pentingnya kewujudan rangkaian institusi di negara anggotanya, turut dikenal pasti dan dibincangkan oleh suruhanjaya itu. — BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan