Sumber: Sinar Harian
Selangor rampas premis jika dalangi kerja maksiat
19 Jun 2012
Datuk Khusrin Munawi
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi berkata, akujanji itu membolehkan kerajaan negeri bukan setakat menyita barang tapi merampas bangunan yang menempatkan premis yang didapati terbabit dalam kegiatan tidak bermoral di bawah akta kanun tanah negara.
"Akujanji ini kita akan mulakan sedikit masa lagi di mana ia akan dilaksanakan oleh seluruh PBT di Selangor," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Penguatkuasaan PBT Malaysia 2012, hari ini
Menurut beliau, pelaksanaan akujanji akan dilaksanakan oleh seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor bagi membolehkan tindakan diambil di bawah Akta Kanun Tanah Negara.
"Tindakan ini tidak terkecuali meskipun bangunan itu disewa oleh itu pemilik kena pastikan penyewa menjalankan perniagaan mengikut syarat yang tertakluk pada lesen jika tidak bangunan mereka boleh dirampas,” katanya.
Turut hadir Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman Pengarah SPRM Selangor Datuk Jaafar Maahad dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MBPJ Mohd Fauzi Maarop.
Menurutnya, akujanji itu bukan sahaja tertakluk kepada pemohon lesen baru tetapi juga pemilik premis yang ingin memperbaharui lesen.
“Tidak akan ada sesiapa yang terlepas, pemilik jenis perniagaan ini wajib buat akujanji kerana tindakan pnguatkuasaan yang ada kini tidak cukup kuat,bila PBT ambil tindakan hari ini, minggu depan dia akan beroperasi semula dan melakukan kesalahan yang sama,” katanya.
Menurut Khusrin lagi, pihaknya yakin jika risiko hukuman yang dikenakan tinggi, garis panduan yang ditetapkan tidak akan dilanggar seperti yang berlaku apabila rata-rata menawarkan
perkhidmatan tambahan yang menyumbang kepada keruntuhan akhlak dan moral belia di negeri ini.
Ketika ditanya bagaimanakah cara Kerajaan Negeri membuat pemantauan ke atas premis yang menggunakan khidmat warga asing, Khusrin berkata, pemiliknya lazimnya menghantar butiran dan kelayakan pekerja ketika permohonan lesen kepada PBT dilakukan namun ianya masih longgar menyebabkan banyak yang melanggar syarat.
Pada majlis yang sama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menandatangani perjanjian persefahaman bagi memudahkan pelaksanaan kerja di masa akan datang.
0 ulasan:
Catat Ulasan