Hanya enam hari sempat bermanja
12 Februari 2012
GELANG PATAH – “Sakit bersalin masih terasa, tetapi bayi yang dilahirkan telah meninggal dunia. Saya tidak mampu menangis lagi kerana air mata sudah kering,” luah ibu muda, Cassindra Anak Gelungan, 24, yang kehilangan anak sulungnya selepas enam hari dilahirkan didakwa akibat tersedak susu.
Menurut Cassindra, dia melahirkan bayi perempuan yang diberi nama Angel Cassandra Anak Jacbelin pada 4 Februari lepas secara normal ketika kandungan berusia 35 minggu di salah sebuah hospital di Johor Bahru.
“Selepas melahirkan, saya sempat menyusukan Angel seperti bayi normal lain. Saya dibenarkan pulang keesokan harinya, tetapi bayi terpaksa ditahan kerana dilahirkan tidak cukup bulan. Biarpun begitu, Angel tidak ditempatkan dalam inkubator,” katanya yang masih trauma atas kehilangan Angel.
Menurutnya, sepanjang dua hari Angel diwadkan, dia sempat melawat dan memberikan susu badan. Bagaimanapun, dia terkejut apabila mendapati jantung anaknya tidak berdegup dan mulutnya mempunyai kesan susu kering ketika melawat Rabu lalu.
“Hampir 20 minit doktor membuat bantuan pernafasan (CPR) ke atas bayi dan Angel kembali bernafas namun keadaannya kritikal.
“Doktor memaklumkan bayi saya tersedak susu dan segera dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Sejak itu Angel hanya bernafas dengan bantuan mesin,” katanya.
Bagaimanapun selepas dua hari ditempatkan di ICU, Angel disahkan meninggal dunia pada jam 4.20 petang kelmarin.
“Saya kesal kerana kedudukan katil Angel kurang satu meter dari kaunter jururawat. Saya anggap insiden ini berlaku akibat sikap sambil lewa kakitangan hospital.
“Saya telah membuat dua laporan polis berhubung insiden ini dan mahukan keadilan. Saya akan mengambil tindakan undang-undang,” katanya.
Cassindra menegaskan bukan soal pampasan yang diutamakan, namun dia tidak mahu insiden yang sama berlaku kepada individu lain. Mendiang Angel Cassandra disemadikan di Tanah Perkuburan Kristian, Taman Selesa Jaya, Johor Bahru semalam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Johor, Dr Mohd Khairi Yakub berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan segera bagi menyiasat kes itu.
“Ia akan dipengerusikan seorang pakar pediatrik kanak-kanak bersama beberapa pakar berkaitan dari hospital atau institusi perubatan luar dari negeri ini.
“Kita akan lihat sama ada ia berpunca dari kecuaian kakitangan di wad berkenaan atau tidak. Tetapi untuk ibu bapa, mereka boleh buat laporan polis atau tindakan saman,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan