Tragedi kilang mercun meletup - 7 Mei 1991
Letupan paling kuat
dan dahsyat dalam sejarah Malaysia berlaku pada petang Selasa, 7 Mei 1991 di
Sungai Buluh, Selangor. Kekuatan letupan dan kesan kemusnahan yang dihasilkan
menyebabkan tragedi itu turut digelar ‘Hiroshima Sungai Buluh’. Kesan letupan
200 tan belerang yang berpunca dari sebuah kilang mercun dirasai sehingga tujuh
kilometer dari lokasi tragedy dan memecahkan cermin tingkap rumah di bandar Seri
Menjalara serta Selayang. Kira-kira jam 3.45 petang secara tiba-tiba saja satu
letupan besar terhasil dari satu kawasan di dalam kilang itu. Letupan kedua
seterusnya menyusul kira-kira 10 minit kemudian. Sengsara itu masih belum
berakhir apabila letupan ketiga dan yang paling kuat, berlaku jam 4 petang dan
dirasai lebih empat kilometer. Lebih 20 letupan kemudian terus berlaku sehingga
kepulan asap yang dipercayai paling dahsyat dalam sejarah negara boleh dilihat
dari jarak lapan kilometer. Berpuluh pekerja yang kebanyakannya baru memulakan
sesi tugas petang pada 45 minit sebelum itu kelihatan menyerbu pintu keluar
kilang bagi menyelamatkan diri daripada dibakar rentung atau terus hancur akibat
letupan berkenaan. Keadaan kelam-kabut terus berlaku apabila penduduk dan
beberapa pihak yang berada berhampiran kilang melarikan diri bagi mengelak
terkena serpihan batu, batang kayu dan besi yang berterbangan akibat letupan itu
selain bahang api. Beberapa pihak yang gagal menyelamatkan diri akhirnya cedera
terkena serpihan dan api itu.
Lapan jentera
bomba termasuk dua dari Kem Tentera Sungai Buloh, Wilayah Persekutuan(2),
Petaling Jaya (2) dan masing-masing sebuah dari Damansara Utama dan Shah Alam
tiba seketika kemudian untuk memadamkan kebakaran dan menyelamat mangsa. Lebih
50 anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran. Sembilan ambulans dari
Hospital Kuala Lumpur (HKL), lima dari Hospital Sungai Buloh berulang alik
mengangkut mangsa yang parah untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Keprihatinan
orang ramai menyebabkan ada mangsa dibawa ke hospital menggunakan lori dan van
dalam keadaan berlumuran darah. Walaupun kebakaran sudah dipadamkan, anggota
bomba tidak dapat meneruskan operasi mencari mangsa dengan mudah kerana khuatir
letupan akan kembali berulang berikutan masih ada tiga tempat simpanan letupan
bawah tanah di kilang itu. Dua daripada stor simpanan itu sudah meletup dengan
meninggalkan kesan seperti kawah sedalam kira-kira enam meter. Api menyala
semula di beberapa bahagian bangunan itu kira-kira jam 2.30 pagi dan anggota
bomba terpaksa menyembur air bagi memadamkannya. Bagaimanapun, sehingga jam 5
pagi, tiada lagi letupan berlaku.
Sehari
selepas letupan, gerakan mencari yang dilakukan bomba menemui 21 mayat yang
terbunuh dalam tragedi letupan dan kebakaran kilang mercun di Sungai Buluh itu.
Satu daripada mayat itu iaitu seorang ahli kimia dari Hong Kong yang bekerja di
kilang itu, rentung. Pemeriksaan awal juga mendapati 83 orang cedera dan dirawat
di beberapa hospital sekitar Kuala Lumpur. Polis, juga menerima aduan mengenai
kehilangan enam penduduk tempatan. Selain itu, 37 rumah dan kilang serta tujuh
motosikal musnah dalam kejadian ngeri itu. Polis bagaimanapun mengalami
kesukaran mengesan jumlah sebenar pekerja yang hilang dalam letupan itu
berikutan majikan tidak mempunyai daftar kehadiran tugas harian dan ada pekerja
kilang berhampiran yang cedera atau belum melaporkan diri. Hari ketiga gerakan
mencari mangsa dijalankan, pasukan penyelamat menghadapi ancaman baru berikutan
hujan lebat selama sejam kira-kira jam 2.30 petang menyebabkan berlakunya tindak
balas kimia di lokasi letupan sehingga menghasilkan gas beracun. Keadaan itu
menyebabkan kira-kira 200 anggota penyelamat diarahkan beredar dari kawasan itu
kerana khuatir gas itu memberi kesan kesihatan terhadap mereka di samping
mengelak sebarang kejadian tidak diingini.Siasatan juga
mendapati kebakaran di kilang mercun itu disahkan berpunca daripada bahagian
makmal yang menjalankan kerja-kerja menguji mercun yang siap untuk dipasarkan.
Kilang mercun dan bunga api itu disahkan beroperasi secara haram sejak 1978
malah ia juga bertindak menyalahi undang-undang apabila menggaji pekerja di
bawah umur. Tragedi kilang mercun itu memberi sejarah besar kepada negara. Ia
sekali gus mengubah polisi negara untuk terus mengharamkan sebarang aktiviti
mercun termasuk sempena perayaan walaupun sebelum ini ia dibenarkan malah
dihasilkan kilang di negara ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan