Kaki pancing terkejut nampak buaya muncul di empangan
ALOR GAJAH - Penduduk Kampung Gangsa gempar selepas sekumpulan kaki pancing menyedari kemunculan tiga ekor buaya di permukaan air ketika leka memancing di Empangan Gangsa, Durian Tunggal, di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 11 malam itu disedari seorang kaki pancing, Zulkifli Abdullah, 19, selepas terlihat kelibat objek yang tiba-tiba naik dan masuk semula ke dalam air.

“Pada mulanya saya sangka batang kayu tetapi selepas diamati, barulah saya menyedari objek berkenaan adalah seekor buaya dewasa setelah lampu suluh mengenai matanya.

“Ketika itu, kami panik dan disebabkan keadaan gelap, kami berhenti memancing dan bergegas pulang kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini,” katanya yang mengakui empangan berkenaan sememangnya menjadi tumpuan kaki pancing.

Menurutnya, keesokan harinya dia menyangka buaya itu mungkin akan terus menghala ke Sungai Malim tetapi sebaliknya, dia dan rakan yang lain sekali lagi melihat dengan jelas kelibat tiga buaya itu naik ke permukaan air.

“Sejak kejadian terserempak kelibat buaya, tiada siapa berani memancing apatah lagi bagi yang gemar turun menebar jaring,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidu­pan Liar, Zoo dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Abd Rahim Othman, berkata, tidak mustahil terdapat buaya di sungai terbabit seperti didakwa penduduk.

“Sebelum ini tidak pernah terjadi buaya melalui sungai tersebut. Ia mungkin berpunca daripada aliran sungai yang deras menyebabkan buaya berkenaan menuju ke arah empangan ini.

“Justeru, kami nasihatkan kaki pancing supaya tidak mengganggu haiwan berkenaan jika terserempak dan berhati-hati ketika memancing atau berada di kawasan sekitarnya,” katanya.